Assalamualaikum w.b.t..setelah lebih kurang seminggu saya tidak mengupdate blog ini, alhamdulillah akhirnya diberikan kesempatan oleh Allah untuk saya berkongsi sedikit ilmu yang telah saya perolehi. Sebagai seorang muslim dan muslimah saya rasa anda semua pasti sudah tahu tentang salah satu rukun islam yang lima iaitu menunaikan atau mengeluarkan zakat.
Zakat merupakan penjana ekonomi masyarakat Islam. Kewajipan ini tidak boleh dipandang mudah kerana zakat ini merupakan hak kepada orang lain dan apabila kita tidak mengeluarkan zakat, kita boleh dianngap merampas hak orang lain dan akan mendapat balasan dosa besar.
Dengan mengeluarkan zakat, kita dapat menyucikan diri kita daripada sifat-sifat keji seperti sifat bakhil, kedekut atau tamak dan sifat mementingkan diri sendiri. Mengeluarkan zakat merupakan antara salah satu wadah untuk kita membantu saudara seagama kita yang mungkin bernasib kurang baik daripada kita. Ini akan melahirkan perasaan kasih sayang antara kita semua dan membersihkan hati dan jiwa si pengeluar zakat.
Saya teringat tentang satu kisah yang pernah diceritakan oleh ustaz saya tentang zakat. Pada zaman pemerintahan Umar Abd Aziz, beliau akan memerintahkan para pegawainya untuk berjalan dan mencari fakir-fakir miskin yang ada untuk diberikan zakat. Tetapi jika kita lihat pada zaman ini, fakir-fakir miskin ini disuruh untuk datang ke pejabat-pejabat zakat bagi menuntut hak zakat mereka. Jika kita fikirkan kembali, hendak menncari duit untuk sesuap nasi pun susah, inikan pula disuruh untuk pergi ke pejabat zakat yang mungkin terletak jauh daripada kediaman mereka dan akan membebankan mereka oleh kerana ketiadaan wang untuk dijadikan tambang ke pejabat zakat tersebut. Seharusnya, kita mencontohi cara pelaksanaan yang telah diamalkan pada zaman Umar Abd Aziz dengan menyuruh pegawai-pegawai zakat yang ada untuk mencari fakir-fakir miskin di negara kita ini untuk diberikan zakat. Kadang-kadang yang memusykilkan saya, ada juga di antara fakir-fakir miskin ini yang malu untuk menerima zakat ini. Zakat ini sememanngnya hak kamu, mengapa harus malu untuk menerimanya.
Pada masa ini juga, ada sebahagian daripada duit zakat ini telah digunakan pada benda yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh ialah pembinaan sekolah-sekolah dan masjid. Ada juga yang menggunakan duit zakat ini untuk pergi melancong atau untuk mengadakan aktiviti-aktiviti dan program-program tertentu. Maksud saya, bukanlah sesuatu yang buruk untuk membina masjid dan sekolah, tetapi seharusnya duit zakat ini mestilah diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan. Kita membina masjid dan sekolah menggunakan wang zakat tetapi padahal masih ada lagi fakir-fakir miskin yang kelaparan dan terpaksa mengikat perut kerana kebuntuan wang. Wang zakat ini adalah hak milik mereka dan kita mestilah dahulukan mereka dahulu daripada mengutamakan perkara-perkara yang lain. Sesungguhnya, golongan fakir miskin di negara kita ini masih ramai dan mereka sangat memerlukan wang zakat itu. Settidak-tidaknya wang itu sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban derita hidup yang mereka tanggung. Akhir sekali saya memohon maaf jika ada salah dan silap dalam penulisan saya pada kali ini. Sehingga kita bertemu lagi.
Wassalam..